Wednesday, December 25, 2013

#21: Untuk Ibu Mertua

Musim durian.
Ayah aku angkut balik durian sampai seguni dari kampung.
Maka secara rasminya, aktiviti mencangkung di dapur sambil makan durian menjadi agenda utama aku pada malam tu. 

Sungguhpun keghairahan aku terhadap durian memang siapa pun dah tak boleh nak sangkal, tapi aku terpaksa mengaku, skil mengupas durian aku masih lagi berada pada level skil mengupas durian seorang budak hingusan berumur sembilan tahun.
Kalau nasib tak baik, kemungkinan sebiji durian hancur di tangan aku tu memang boleh terjadi.
Dan kalau kau terpandang aku terhegeh-hegeh mengupas durian, itu memang satu panorama yang bukan luar biasa.
Jadi, jangan terlalu teruja, mahupun bangga dan hairan serupa binawe.

Sedang aku mencangkung di dapur, memegang pisau Rambo, mengerjakan sebiji lagi durian yang ada gaya macam nak hancur juga, tiba-tiba ayah aku masuk ke dapur dari ruang tamu, menuju ke peti ais untuk minum air sejuk. Ayah aku capai cawan sebiji, tuang air, duduk di kerusi yang ada di belakang aku sambil memerhatikan aku yang masih terkontang-kanting dengan durian yang sebiji tadi.

Dengan tenang, ayah aku habiskan air secawan, dengan tenang dan selamba juga dia berkata:

"Kalau rupa itu gaya kamu kupas durian, memang tak merasa la mak mertua kamu nak makan durian nanti",

dan terus berlalu ke ruang tamu, sambung tengok TV cerita entah apa.

Aku? Terus buat-buat pekak sambil terus telan durian yang aku baru kupas dengan biji-bijinya sekali.

Bapak aku kalau sekali dia perli, memang padu!

.....

Malam tu, aku berjaya menjadi seorang pengupas durian dengan skil yang aku rasa layak diberikan Anugerah Kebesaran Diraja.
Dapur? Jangan cerita dia punya bersepah.
Kulit durian melayang sana-sini.

Tapi tu semua aku tak kisah,
asalkan nanti, bila mak mertua aku nak makan durian,
aku dengan bangga boleh kata:

"Rilek mak rilek, biar gua yang tolong kupaskan"

Tuesday, December 24, 2013

#20: Aku Memang Champion Bab Ini

Ujang: Bonzer, jom la, tadi sembang kencang mau gaduh, ni apekehal kau buat-buat skema pulak stadi?

Aku: Porah. Lu ingat gua goyang sangat kalau setakat muka macam lu ni? Gua bubuh lu cukup-cukup nanti tak bercakap dah mulut langsi lu tu.

Ujang: Kau cakap aje lebih, cepat la, aku pun dah lama tak hempuk orang. Kau nak stadi, minggu depan pun boleh. Ke memang kau cari alasan aje nak lari?

Aku: Lu pergi tunggu bilik lu, sikit lagi gua mari, gua kasi kacau sama lu punya jiwa. Gua pun dah lama tak fight dengan brader lauk macam lu.

Aku dengan ujang ni nama aje member baik.
Tapi kalau bab bertumbuk ni, aku memang tak boleh kompromi.
Tak kira la siapa pun yang mencabar, memang gua bubuh cukup-cukup punya.

Malam tu, tak sampai 10 minit aku study fizik,
memang aku shoot terus pergi bilik ujang. Nak fight punya pasal.
Ini baru la namanya anak jantan!

'Woi Ujang!, Gua suda mari nak hambat lu cukup-cukup!"

Aku masuk bilik ujang...

Aku sepak kepala dia.
Debuk, tepat kena dahi, ujang terpelanting.
Dia lompat, bush, dia debik kepala aku dengan siku.
Nasib baik aku sempat tahan.
Kebuak, aku rembat perut dia dengan lutut. Tak cukup dengan tu, aku sapu keting dia dengan kaki. Bedebap, dia jatuh mencium bumi.
Ujang dah mula buat muka bengang tak puas hati, laju dia datang dekat dengan aku, kedepek, dia tumbuk muka aku. Aku bukan nak tipu, tapi berapi penumbuk dia yang sampai ke pipi aku tu. Terasa panas muka aku. Kepala pun dah mula pening-pening.
Tengah aku mamai tu, sempat Ujang libas kepala aku dengan penerajang.
Tersembam aku ke muka bumi.
Aku pun dah tak tau sangat nak buat apa. Stamina aku pun tak banyak macam stamina Ujang.
Tiba-tiba dalam aku tengah desperate, aku keluarkan satu jurus hikmat penyelamat hakiki.

.....

"Metsu Hadouken!"

BUSSSSHHHHHHHH.

K.O,
terpampang jelas dua huruf tu pada skrin laptop.
Ujang buat muka frust. Dia kalah lagi.

Memang dah tak boleh nak nafi lagi,
aku memang champion game Street Fighter di KMPk.

#19: Bersembang Tentang Realiti

Ini cerita tentang satu malam,
bila aku melayan serabut kepala yang dah macam lepas kena taufan Katrina dek penangan Biostatistics.
Malam tu aku study biostatistics dengan kawan aku, hakak Azie.
Kepala otak hakak Azie yang geliganya dah sampai tahap boleh buat kismis minda, betul-betul buat aku rasa aku patut minta pedoman sedikit-sebanyak daripada dia berkenaan apa kiranya Poisson Distribution, dan segala macam benda yang terlibat...contohnya macam Z-test, t-test, U-test, 1-tailed or 2-tailed tests, Type I and Type II errors dan bermacam lagi terminologi duniawi yang seangkatan dengannya.

Jenuh bergelumang dengan kertas yang bertimbun dan distribution tables yang mencekik, aku dengan hakak Azie lepak sekejap lepas aku pun dah nazak study.
Take 5 sambil membuka cerita, mengimbau memorabilia, memorativa dan memikirkan perjalanan hidup sebagai mahasiswa...ouh, hakak Azie = Mahasiswi.

Member aku hakak Azie ni budak Biochemistry. Satu bidang ilmu yang aku rasa kesukarannya mempunyai kiraaan F=ma yang cukup besar untuk melingkupkan neuron otak dan central nervous system aku dalam masa tidak lebih 48.97 saat. Entah kenapa, malam tu topik tentang hala tuju bidang pelajaran masing-masing yang jadi subjek kencang perbualan.

Kata hakak Azie, bila bergaul dengan orang sekeliling, selalu juga dia dengar ayat-ayat seperti:

"Kau belajar bidang bichem? Kau nak kerja apa nanti?"
"Biochem? ada kerja ke nanti? Kenapa tak mintak medic?"
"Ada kerja kerajaan ke bidang tu?"

Mendengar sembang kencang hakak Azie membuat aku tersenyum.
Bukan sebab aku gembira dengan nasib dia dipandang macam tu.
Tapi sebab aku juga mengalami fenomena yang sama.

"Kau ambik bidang pendidikan? Gaji kecik la"
"Kau tak tau ke sekarang lambakan guru? Takde kerja kerajaan nanti"
"Kiranya nanti bila habis belajar, kau ni jadi cikgu aje la ye?"

Aku katakan pada hakak Azie,berharap untuk membuka matanya tentang realiti bumi Malaysia yang menjadi tempat dia bertapak sekarang ini. Mungkin juga kerana aku rasa bahu aku terpikul sedikit tanggungjawab memberi pencerahan kepadanya selaku seorang mahasiswa yang lebih senior.

Kalau kau tengok, masyarakat kita mempunyai kelemahan yang ketara:

1. Terlalu takut jika tidak dapat bekerja dengan kerajaan. Mentaliti mereka diset dengan kepercayaan bahawa bidang ilmu yang tidak signifikan diambil oleh kerajaan untuk bekerja adalah satu bidang ilmu yang rendah nilainya. Maka, dengan fahaman ini, mereka membuatkan kita percaya seolah-olah cuma ada empat bidang kerjaya yang wujud di dunia...Medical Field, Engineering, Accounting dan Law.

2. Semangat untuk mendapatkan duit jauh lebih membuak-buak berbanding semangat untuk berkhidmat sebagai seorang yang berilmu. Bukanlah aku maksudkan yang duit atau harta itu langsung tiada kepentingan dalam kehidupan. Dengan benda-benda itulah kita membeli makan, pakai dan bumbung tempat berteduh. Tapi, bayangkan jika seorang manusia ingin menjadi doktor hanya kerana ingin mengejar harta yang berguni-guni, kau rasa masih akan wujudkah tokoh-tokoh gemilang yang bergolok-bergadai demi kepentingan orang lain.

3. Masyarakat kita terlalu mengejar populariti bidang ilmu yang dipilih sehingga mengabaikan minat dan aptitude dalam bidang lain. Situasi ini boleh membuatkan seseorang itu belajar tanpa minat dan belajar tanpa minat itu sudah cukup untuk menggamabarkan keadaan penjara yang jauh lebih teruk daripada Penjara Azkaban dalam siri Heri Potar

Mengenangkan kemungkinan tawaran kerja dalam bidang yang diminati pada masa hadapan, hakak Azie akhirnya menutup sesi sembang dengan memasang cita-cita untuk study sampai dapat PhD, dan jadi seorang legend dalam bidang biochemistry agar survivabilitynya akan datang menjadi lebih terjamin.

"Kalaupun aku tak ambik bidang medic, aku nak jadi ahli biochem yang boleh membuat sumbangan yang besar dalam bidang perubatan", katanya sambil menyedut Ice Lemon Tea cap Seasons dalam botol menggunakan straw.

Aku?
Target aku mungkin, jika aku jadi cikgu nanti, aku ingin terajang budak yang jawab
"Saya nak jadi doktor sebab gaji besar, dah ada jaminan kerja, boleh beli kereta besar, rumah besar. Saya tetap nak jadi doktor walaupun sebenarnya saya minat seni visual" bila aku bertanya soal cita-cita...

#18: Tragedi Waktu Isya'

Isya'. Masa, atas pukul 8, bawah pukul 10.

Gua punya niat nak solat jemaah jadi terbantut. Hati macam haram dia punya bengkak.
Pasal apa? Ini macam dia punya cerita;

8.45 malam,
aku stand by tukar kain pelekat dan pakai seluar, bikin rambut sikit, capai kopiah, aku start motor, pecut pergi surau.
Sampai surau, aku tengok belum azan lagi.
Ada brader yang umur mungkin dalam 30-an tengah kencang bagi tazkirah. Chill. Aku duduk kejap.
Tengah aku duduk-duduk datang dua orang brader (aku rasa budak UiTM) duduk dekat dengan aku, sama-sama layan tazkirah...

9.45 malam.

Aku masih menganga mendengar brader muda tadi bagi tazkirah.

Pakcik-pakcik yang stok jenis semua dah pencen, ada yang aku nampak dah mula rancak bercerita di port minum kopi belakang surau.

Pakcik-pakcik yang jenis anak baru seorang dua, aku tengok dah mula tersengguk-sengguk.
Anak-anak kecil yang ikut ke surau pun dah mula bergelimpangan tertidur di lantai surau.

Budak-budak muda yang umur mungkin 2,3 tahun lagi muda daripada aku, dah mula main game dalam handset, yang agak menggedik sikit, dah mula buka cerita pasal awek yang dia jumpa di The Store Sungai Buloh. Sembang pun gaya ala-ala ranggi orang muda. Surau dibuat macam jalan tepi pasar malam. Boleh buat suka hati bercerita benda macam tu.

Dua orang brader UiTM duduk dekat dengan aku tadi? Lama dah balik rumah.
Tak lama lepas tu, aku pun angkat kaki.

Brader tazkirah tadi?
Masih bertazkirah di meja depan surau.
Siapa yang mendengar tazkirah beliau?
Itu, aku tak berapa nak pasti memandangkan populasi surau pada masa tu rata-ratanya gaya macam dah mula pasang cita-cita nak tutup mata.
Kalau ada bantal dengan tilam, aku rasa mau berbaring dah orang dalam surau masa tu.

Apa yang aku dapat masa tu?

Niat aku nak solat isya' berjemaah jadi terbantut,
dan telinga aku menggelegak hasil mendengar 45 minit ceramah politik yang tak ada gaya langsung macam ceramah Islami.

Dan aku pun dah tak pasti, sama ada tempat yang aku pergi tu memang surau atau port untuk pakcik-pakcik taksub politik membentang hujah menghentam parti-parti politik lain.

#17: Sesi Berfikir Di Gelanggang Bola Keranjang

Satu petang,
Aku duduk-duduk dengan dua orang legenda bola keranjang.
Brader Louie dengan Brader Qayyum.
Berehat, bersembang lepas semput berentap di gelanggang menentang pasukan generasi pelapis Puncak Alam Basketballers. Lebih-lebih lagi aku, yang semput mengalahkan baru lepas berlari 18000 kali 100 meter. Dah lama tak main, stamina pun macam haram.

Brader Qayyum bercakap tentang rasa peliknya terhadap satu ciptaan bernama rokok.
Selaku basketballers, memang kami rasa rokok merupakan satu objek yang melingkupkan paru-paru dan stamina.
Dengan kencang brader Qayyum membentangkan hujah-hujah tentang kenapa rokok tu satu benda yang menjahanamkan lagi merugikan manusia di atas muka bumi.

Mahal yang sampai mampu mengoyakkan beg duit tu satu hal, melingkupkan paru-paru pula lagi satu hal.

Hujah Brader Louie pula;
"Aku yang tak merokok ni pun rasa macam tak berapa nak cukup duit, hidup di bumi Malaysia ni yang ribut takde hujan takde, harga minyak, tepung, tol semua nak bagi naik, macam mana agaknya orang yang merokok menstabilkan ekonomi mereka dalam kehidupan seharian"

Tak cukup dengan tu, Brader Qayyum sambung pula bercerita tentang member beliau yang cukup tak boleh lepas tangan daripada rokok, sampaikan kalau rokok habis, member beliau akan mengambil batang-batang kayu atas jalan, nyalakan api pada hujung kayu tersebut dan hisap pangkal kayu tersebut, berlakon seolah-olah menghisap rokok....kritikal, kata hati aku.

Kadang-kadang aku pun pelik juga.
Kenapa masalah rokok ni masih tak dapat nak diselesaikan oleh golongan bijak pandai negara?
Dan kenapa penjualan rokok masih tidak dihentikan sungguhpun fatwa mengatakan rokok itu sesuatu yang haram?
Adakah ini bukti yang mengatakan kerajaan kita masih tidak serius berkenaan perkara yang melibatkan hukum-hakam agama?
Entah.
Petang itu, aku tidak menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh Brader Louie dan Brader Qayyum.
Aku cuma mampu termenung jauh, melontarkan pandangan pada langit senja.

'Kalau rokok ni haram, kenapa penjualannya masih tak dihentikan?'

"Aku berpijak di negara Islam...atau negara sekular yang sifat sekularnya semakin parah dan menjadi-jadi?", hati aku tertanya-tanya.

Langit senja hari tu pun, seolah-olah meraikan kepeningan kepala aku yang memikirkan hal ni.

#16: Bercakap Soal Hijrah

Bila bercakap soal hijrah,
aku teringat pada satu warung roti canai di Felda Bukit Cherakah.
Umat manusia yang duduk di kawasan Felda tersebut dan di sekitar Puncak Alam mesti pernah dengar nama warung Qawwam Desa yang memang dah sedia terkenal dengan roti canainya yang dah masuk standard masterpiece.
Yang tak pernah dengar tu, jangan berani-berani mengaku depan aku kau tinggal di Puncak Alam.

Apa kaitan hijrah dengan warung roti canai?
Kenapa aku tak bercerita tentang perjalanan Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Mekah ke Madinah?

Sebab pada hemat aku, perjalanan Hijrah Nabi kita ke Madinah adalah satu kisah mainstream yang semua orang Islam tahu.
Kalau kau lupa sekalipun, setiap kali tiba 1 Muharram, para AJK masjid dan penceramah akan mengingatkan kau semula tentang peristiwa penting ni di surau-surau mahupun masjid-masjid berdekatan.
Kau jangan berani-berani kata kau tak tahu tentang kisah ni.

Jadi, untuk buat sedikit perubahan,aku sajikan satu cerita tentang kisah hijrah di zaman moden.
Satu cerita tentang perubahan yang melibatkan penebar roti canai, tukang buat teh tarik, pembuat nasi lemak dan tukang ambil order di Qawwam Desa sebagai protagonis.
Kisah tentang semangat juang brader-brader ini dalam perjuangan berhijrah mengecapi perubahan yang lebih baik.

Aku kagum dengan warung Qawwam Desa, sebab geng yang menguruskannya terdiri daripada bekas penagih dadah.
Bekas penagih dadah, maksudnya satu masa dulu pernah melantak dadah, dan pernah juga kau hina-hina dalam karangan Bahasa Melayu yang kau tulis.
Tapi sekarang, sudah berjaya dan boleh hidup selesa dengan menguruskan sebuah warung yang terkenal di tempat tinggal aku.

Geng Qawwam Desa dah membuktikan yang perubahan itu boleh dikecapi tidak kira siapa pun kau selagi kau berniat baik untuk mendapatkan redha Ilahi.

Mengenang perubahan baik yang dikecapi oleh Qawwam Desa, aku terfikir tentang satu perkara.

Ini kalau orang menagih dadah pun boleh berhenti, dan siap boleh meniaga sampai berjaya lagi,
apa alasan pula budak-budak yang hisap rokok nak bagi?
Kau jangan berani kata ketagihan kau dah sampai tahap tak boleh nak berhenti.
Nak kena pukoi?



#15: Sebelum khutbah, bukan selepas

Aidil Adha 2013

Raya Haji kali ni sudah menjadi satu hari agung yang cukup berlagenda.
Sebab apa?

Sebab aku dan abang aku, brader Dentist, sudah mengalami satu adventure yang betul-betul menyayat hati.
Kau kenal  Bear Grylls? Bekas komando Brittain yang jadi hos rancangan Man v.s Wild?
Hati aku kuat mengatakan yang kalau Bear Grylls baca cerita aku kali ini, dia sendiri pun takkan mengaku yang dia pernah jadi komando, dek kerana terlalu hormat kepada pengalaman aku menempuh adventure yang semacam ni.

Tolak mak ayah aku yang sedang mengerjakan Haji di Mekah dan abang aku lagi seorang, brader Lawyer, yang tengah tenggelam dengan dokumen-dokumen mahkamah segala di Ipoh sana, watak yang terlibat dalam episod Raya Haji 2013 aku hanyalah; aku, brader Dentist, dan adik aku.

Tahun ni, event Raya Haji berlaku di Puncak Alam dan bukan di Kampung.
Aku dan watak-watak sampingan yang lain tak balik ke kampung bukan sebab aku perasan yang aku ni brader bandar dan langsung tak boleh kena gigit nyamuk di kampung.
Tapi sebab brader Dentist cuma dapat cuti sehari sahaja untuk beraya.
Kerana sifat simpati dan empati aku yang mendalam kepada beliau, maka, aku telah menghalang orang lain untuk pulang ke kampung untuk mengelakkan beliau daripada terkontang-kanting beraya seorang diri di Puncak Alam.
Kau jangan kata aku derhaka dengan opah pula sebab tak balik kampung.
Sesungguhnya opah aku seorang yang memahami.

Fasa pertama Raya Haji aku bermula dengan bunyi handset yang menjerit-jerit suruh aku bangun solat subuh.
Macam biasa, aku bangun subuh dan bantai tidur balik.
Jenis yang langsung tak reti nak berpagi-pagi.
Pantang lepas solat memang bantai kejar katil. Macam hampeh.
Fasa seterusnya, melibatkan brader dentist menarik-narik telinga aku tanda jam dah nak pukul tujuh setengah. Ini pun satu hal juga, buat perangai macam Ginkgo Biloba. Jenis tak boleh nak kejut elok-elok.
Aku peduli apa, aku sambung tidur balik.
Sebab aku tahu masih awal lagi. Orang-orang surau pun tengah sibuk bentang tikar untuk jemaah solat.

Kemuncak fasa sambung-tido-lepas-subuh aku adalah bilamana brader Dentist ambil bantal kekabu dan menghempuk kepala aku berkali-kali sebab aku tak reti-reti nak mandi walaupun jam dah terang-terang tunjuk pukul lapan sepuluh minit.
Takpe, aku husnudzhon.
Walaupun gaya kejut yang macam tu masih lagi diklasifikasikan sebagai 'macam Ginkgo Biloba '.
Aku faham niat dia tak nak bagi aku terlepas Solat Sunat Aidil Adha.
Sebab pada aku, walaupun hukumnya sunat, tapi kalau aku tak join jemaah masjid solat sunat raya, maka, tak ada maknalah raya pada tahun tersebut.
Aku pun, lintang-pukang berterabur lari turun bawah, mandi, dan bersiap sungguh-sungguh walaupun hampir lupa gosok gigi.

Dah siap, pukul lapan dua puluh, aku dengan brader Dentist pecut motor ke surau.
Setengah jalan nak sampai ke sana, brader Dentist cakap pada aku,

"Ni apehei orang balik ni? Takkan dah semayang kut?", kata beliau dalam loghat Perak yang mega-hebat-punya pure.

Aku amati betul-betul segala bunyian yang ada.
Aku dengar khatib tak habis lagi bagi khutbah di surau.
Selain daripada faktor kedudukan surau yang dekat dengan rumah, tahap pendengaran aku yang dah mengalahkan kebolehan satelit bumi juga membolehkan aku mendengar khutbah yang dibaca dari jauh.
Kau jangan dengki.

Dengan keyakinan yang hakiki, aku jawab soalan brader Dentist,

"Bukan ke orang semayang lepas khutbah. Tu, khutbah pun tak habih lagi, rilek le", aku balas, juga dalam loghat Perak yang juga mega-hebat-punya pure.

Brader dentist memantapkan lagi spekulasi aku dengan ayat,

"Ni aku rasa surau penuh ni, tu yang depa ramai balik tu"

Mendengar hipotesis brader Dentist, aku bertambah yakin dengan spekulasi aku dan tindakan kami yang pasang niat untuk solat sunat raya pada pukul lapan setengah pagi.
Tambahan pula masa tu aku ada bawa sejadah, risau kalau surau penuh, boleh la aku solat saja di mana-mana tempat kosong.
Cun, plan aku memang sempoi habis!

.....

Habis saja imam baca khutbah, aku tengok, orang semua keluar dari surau.
Tak ada seorang pun yang aku tengok menunaikan solat sunat Aidil Adha.
Dari jauh, aku nampak brader Dentist tengah terkekeh-kekeh menggelakkan aku secara senyap-senyap sampai terhinggut-hinggut bahu.
Sambil mata aku memandang sejadah yang ada pada tangan, di samping memikirkan spekulasi aku yang sudah hancur musnah, serta mengenangkan idea haram siapa yang terdetik dalam hati aku untuk pergi surau pukul lapan dua puluh pagi, hati aku menjerit;

"Ini ustaz mana yang tulis buku kata Solat Sunat Aidil Adha orang buat lepas khutbah?!

Saturday, December 21, 2013

#14: Pedoman Dari Brader Terencat

Aku ni sudah hampir sedekad tinggal di Puncak Alam.
Bersandarkan fakta tersebut, aku berani katakan yang hampir seputar benda yang ada dan yang berlaku di Puncak Alam ni aku tahu.
Kalau setakat kes riot budak-budak sekolah, kes rumah tangga jiran, perangai pengasuh di tadika, kes mak ayah mengamuk sebab anak-anak tak dapat masuk kelas pertama di sekolah, celah gigi saja aku boleh sembangkan pada kau.

Tapi aku bukan buka cerita untuk memburuk-burukkan tempat tinggal sendiri.
Nak memperbodoh-bodohkan penduduk setempatnya jauh sekali, walaupun kadang-kadang ada juga jenis manusia di sini yang sengaja buat aku rasa nak baling parang terbang.
Aku nak buka cerita tentang seorang brader yang aku kenal.

Di Puncak Alam ni, aku duduk di satu area yang member-member aku panggil Fasa 2.
Di area Fasa 2 ni, aku ada kenal satu brader yang boleh la rasanya kalau aku nak klasifikasikan sebagai unik.
Kenapa aku cakap unik?
Sebab kalau kau tengok brader ni, mesti kau akan rasa yang tahap IQ brader ni sekadar cukup-cukup makan sahaja.
Tak pun, kau mesti akan kata yang brader ni baru terlepas dari Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.
Aku cakap brader ni unik sebab ini la satu-satunya brader terencat yang aku kenal di Puncak Alam.
Lain orang tak ada.
Asal terencat, mesti brader ni.
Asal brader ni, mesti terencat.
Kira rare juga sebenarnya brader IQ cukup makan ni.

Sejak aku darjah lima, setiap kali aku jumpa brader ni, dia akan mulakan cerita yang macam-macam.
Kebanyakan cerita yang dia semburkan kepada aku adalah jenis cerita yang buat aku rasa nak terajang beliau biar terpelanting sampai ke Alaska sana.
Macam-macam  cerita dia mengadu pada aku.
Kalau kau kelaskan cerita dia mengikut teknik taxonomy dan systematics yang betul, aku rasa mau berpuluh-puluh phyla dan spesies cerita yang boleh kau dokumentasikan.

Ada masa, dia akan bercerita pasal budak-budak mengejek dia sampai dia rasa nak tikam budak-budak tu semua dengan pisau.
Ada time, dia buka cerita yang dia nak sambung belajar di Manchester walaupun satu haram sijil akademik pun aku tak pernah tahu dia ada.
Ade time, dia sembang pasal dia nak kahwin walaupun aku tengok dia ni nak makan pun masih mak ayah yang tanggung.
Kalau macam ni punya sembang, kau tak fikir kenapa aku rasa nak bagi jurus Tendangan Gagak Hitam Melintang aje setiap kali dia bercerita?

Kalau cerita dia jenis yang boleh masuk dengan cerebrum kepala otak aku, memang tak jadi hal untuk aku melayan.
Ini jenis umur pun dah cecah level 30 tahun ke atas, masih cerita pasal makan hati dengan budak-budak mengejek dia gila dekat padang bola.
Mau tak menyirap aku mendengar cerita macam tu?

Memang brader ni, kalau orang tengok, secara automatiknya dan secara fitrahnya depa akan label brader ni sebagai terencat, gila, tak siuman, brader tak waras, kepala otak berjambul, brader senget, kebudak-budakan dan segala macam label, makian dan carutan lain lagi yang tak sanggup aku tuliskan di sini.

Tapi tentang brader ini,ada benda yang aku tabik.

Aku kalau setiap kali pergi surau, aku nampak brader IQ cukup makan ni kompom akan sampai lagi awal daripada aku dan sudah tercogok tunggu orang solat jemaah.

Tak cukup dengan itu, dia ni aku tengok, tak pernah miss pergi solat jemaah.
Setiap kali aku pergi surau, dia mesti ada.
Kalau aku tak pergi surau pun, aku akan nampak dia on the way keluar dari surau selesai solat jemaah waktu aku on the way ke kedai mamak lepas isya'.

Kalau ada majlis solat sunat hajat, majlis tahlil, majlis bacaan Yasin, pendek kata majlis-majlis selepas solat jemaah yang rata-rata orang tak minat nak join, muka brader IQ cukup makan ni juga yang akan tunggu sampai majlis selesai.

Keadaan ni membuat aku berfikir.

Kalau brader IQ cukup makan pun boleh ada kesedaran nak ke surau,
kita yang IQ mencecah ketinggian Gunung Everest ni bila lagi?

Thursday, December 19, 2013

#12: Member-memberku Yang Brutal?

Aku ni jenis insan berjiwa brutal. Dengar pun jenis lagu-lagu yang brutal juga.
Trash Metal, Heavy Metal, Hard Rock, Alternative Rock, segala jenis keluarga lagu-lagu headbanging aku redah.
Secara automatiknya, aku turut mencari orang-orang yang sama berjiwa keras lagi brutal untuk dibuat kawan.

Antara member aku yang brutal ialah Don.
Don merupakan seorang brader yang lain macam dia punya kepala.
Kalau cakap pasal strategi dan perancangan, aku rasa langkah-langkah nak meletupkan negara haram Israel pun dia boleh bentangkan dalam mesyuarat PBB.
Tapi bila teringat yang member baik Israel laknat iaitu Amerika mempunyai pengaruh yang dahsyat tahap mambang dalam PBB, maka aku batalkan niat aku untuk tanya Don fasal ni.
Kalau jadi ahli poitik, aku berani jamin gengster-gengster di luar sana tidak terkecuali para mafia dari Itali mahupun Russia akan tertunduk malu-malu kucing dengan karisma dan kewibawaan Don.

Seorang lagi member aku yang brutal ialah Apek, pakar komputer yang dah masuk standard langit ke tujuh.
Budak ni kalau hack sistem kewangan negara-negara jiran pun aku rasa satu dunia tak perasan.
Ke'brutal'an Apek diserikan lagi dengan tabiat beliau yang tak suka mandi pagi dan sekadar menyembur apa yang perlu pada badan untuk mewangikan apa yang patut.

Ujang juga tak terkecuali daripada senarai member-member brutal aku.
Seiring dengan Wan, Ujang juga boleh diklasifikasikan sebagai salah seorang kaki pukul kelas pertama.
Kiranya, kalau aku nak pergi bergaduh, rasa tak goyang langsung kalau ada dua ekor ni berjalan di sebelah kiri dan kanan aku.
Lebih-lebih lagi Wan.
Saiz badannya saja sudah boleh buat Gajah Afrika tunduk hormat kepada beliau.

Kejung juga merupakan sahabat aku yang cukup brutal.
Kelibat tubuhnya sahaja mampu mencairkan makwe-makwe yang memerhati dari jauh.
Kalau dia mula bercakap, aku rasa mau jadi gila tak keruan terus makwe-makwe tersebut.
Kalau diukur dari saiz penumbuk Kejung, StoneCold Steve Austin boleh menangis guling-guling minta tamatkan kontrak dengan WWE dek kerana rasa rendah diri yang melampau-lampau terhadap Kejung.

Pendek kata, member-member gua pun majoriti sama jiwa brutal lagi keras serta deras, sama macam gua.
Brutal brothers never walk alone gua cakap lu!

.....

Sebelum final exam sem 4 di KMPk, Apek pergi MPH untuk selesaikan baucer buku dia yang dah tunggu masa saja untuk tamat tempoh.
Antara buku yang dia beli adalah novel 'Lazuardi', karya Nasz. Dia baca, Don pun baca novel tersebut.
Aku jenguk bilik Wan pula, aku nampak novel 'Adam dan Hawa', karya Aisya Sofea atas katil.
Ujang pula tak puas hati sebab aku tertinggal novel 'Versus' karya Hlovate yang dia tak habis baca lagi dekat rumah.

Mengingat akan hal ini, aku sudah tidak tahu lagi bahagian mana yang brutal tentang mereka.

Wednesday, December 18, 2013

#16 Sedikit Ilmu Biology

Proses pernafasan.

Kita diajar apabila nafas ditarik, otot interkostal akan mengecut, tulang rusuk akan keluar dan terangkat ke atas, dan sekali gus paru-paru akan mengembang dan diafragma akan meleper.

Apabila nafas dihembus pula, otot interkostal akan rileks, tulang rusuk akan terkebawah dan masuk ke dalam sekali gus paru-paru akan mengecut dan diafragma akan mengecut dan membentuk lekuk ke atas.

Dalam bahasa mudah, apabila kita bernafas, dada kita akan naik turun bagaikan berombak.

Sebagai seorang pelajar biologi,
melihat sekujur jasad yang dadanya tidak naik turun berombak,
betul-betul membuatkan aku menggigil memikirkan suasana alam barzakh.

*Aku baru balik dari menziarah orang meninggal semasa menulis entri yang kau selesai baca ni.

#13: Aku dan Farhana

Satu cerita rare yang nak aku kongsikan dengan semua.
Selalu pun bukan aku biasa tulis-tulis cerita jiwang pasal diri aku macam ni.
Tak masyuk dengan jiwa bak kata orang!
Tapi kali ni tak apalah, aku sinarkan sedikit sisi jiwang yang bersisa dalam diri.

Mungkin ramai yang masih tak tahu, tapi sebenarnya aku lama dah kenal Farhana ni.
Hampir 4 bulan juga la.
Dan sepanjang 4 bulan tu juga, hubungan aku dengan Farhana ni memang rapat.
Malahan sangat intim.
Aku tak nak makwe-makwe lain bising dengar aku rapat dengan Farhana, itu pasal aku tak banyak cerita tentang hal ini.

Selama ni, selalu juga aku melepak dengan dia.
Tapi lepas aku masuk UM, hubungan aku dengan Farhana jadi semakin rapat.
Mungkin sebab Farhana pun ikut aku belajar di sini.
Dulu, sebelum aku sambung belajar, bila aku lepak ronda-ronda dengan dia, adik aku akan join sekali.
Saja pusing-pusing Puncak Alam, daripada tak ada buat apa di rumah, ada baiknya juga aku keluar pusing-pusing hirup angin petang.
Tapi kalau malam-malam, memang aku berdua-duaan saja dengan Farhana ni.
Biasanya aku bawa dia ke kedai mamak.
Dah jadi satu benda biasa la brader bujang macam aku ketagih teh tarik, jangan buat ternganga pulak.

Aku sayang Farhana sepenuh hati sebenarnya gua cakap lu.
Selalu kalau dah berduaan dengan dia, memang aku usap-usap kepala dia, ronda-ronda sambil pimpin dia.Romantisnya aku terhadap Farhana dah bagaikan sinar mentari senja di Venice.
Kau boleh bayangkan tak keagungan cinta aku terhadap Farhana?
Aku juga sudah berjanji untuk kekal setia mencintai Farhana sepenuh hati, pankreas, usus besar, usus kecil, ginjal dan segala jenis organ dalaman lagi yang wujud memenuhi rongga badan ini.

Di sini, aku cuma nak ucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat Farhana kerana setia menemani aku ke mana sahaja aku pergi.
Kedai mamak, gelanggang bola keranjang, surau mahupun masjid, waima ke dewan kuliah dan port lepak Setia City Mall sekalipun, dia tetap setia menemani aku tanpa keluhan dan rasa jemu.
Sungguh, aku sayang sama Farhana.
Moga hubungan kita kekal selama-lamanya.

Nota Tambahan: Farhana dalam cerita yang aku karang bersungguh-sungguh di atas sebenarnya adalah nama yang aku berikan kepada Motorsikal berkuasa 115 cc, Yamaha Lagenda hitam putih yang setia menemani aku dari mula aku beli, sampailah hari ini.
Kau jangan fikir bukan-bukan pulak. Keh keh keh...

#11: Eksperimen Aku Yang 'Rare'

Ni satu cerita masa aku darjah empat.
Dalam istilah matematik yang lebih tepat, semasa aku berumur 10 tahun.
Dalam istilah matematik yang lebih abstrak, waktu itu sudah satu dekad aku hidup.
Aku tinggal di Pasir Gudang masa tu dan bersekolah di SKPG 4.

Darjah empat adalah satu peringkat umur di mana aku sudah mula menunjukkan ciri-ciri seorang rebel dan revolutionist yang berpotensi.
Akibatnya, muka aku dengan penuh takzimnya menjadi muka wanted di sekolah dek kerana keganasan dan perangai aku yang sudah masuk standard menentang hukum alam dan di luar segala logik rumus fizik mahupun matematik.
Kebanyakan tindakan aku ketika itu jika diingatkan semula, dah layak menempatkan aku dalam tahanan kerajaan.
Dek kerana nilai 'hero' yang membuak-buak dalam jiwa aku, maka berjaya juga aku memboloskan diri daripada ditangkap.

Antara event yang aku tak boleh lupa semasa darjah empat, berlaku dalam satu sesi di kelas muzik.
Nama cikgu yang mengajar aku muzik waktu tu, Encik Entah-Haram-Aku-Tak-Ingat-Nama.

Seingat aku, sejak awal tahun lagi Encik Entah-Haram-Aku-Tak-Ingat-Nama memang dah berdendam dengan aku baik punya, akibat daripada hatinya yang kian bengkak melayan karenah brader macam aku yang jenis haram langsung tak ambil peduli pasal nak siapkan kerja sekolah.
Masa tu, selain mula menunjukkan ciri-ciri revolutionist berjaya,  aku juga sudah mula aktif memegang komitmen sebagai seorang penagih video game sejati.
Secara logiknya, tidak hairanlah kalau kerja sekolah aku dibiarkan berpeleseran di atas lantai, mahupun di bawah katil setiap kali balik sekolah.

Masa kelas muzik, cikgu aku rancak mengajar di depan dengan gaya penerima Anugerah Guru Terbilang.
Aku di belakang dengan dua tiga orang lagi budak yang jenis tak reti nak fokus cikgu mengajar, tengah sibuk bersembang hal duniawi, masalah harga minyak dan keadaan sosio-ekonomi semasa di Pasir Gudang dengan pegangan yang kukuh, iaitu;

"Subjek muzik tak masuk dalam UPSR, tak payah la belajar".

Sampai satu masa, cikgu aku kata dia nak pergi ke bilik guru, nak ambil barang yang tertinggal.
Sebelum cikgu muzik aku membawa diri, sempat dia tinggalkan amaran jangan buat bising, jangan buat benda tak senonoh, sesiapa buat juga, cikgu denda, cikgu boleh nampak siapa yang buat pasal dari bilik guru di sebelah bangunan sekolah di sebelah yang bertentangan dengan kelas aku.

Aku yang tengah rancak bermesyuarat, on the spot menghentikan perbincangan dan sekali gus mencapai pembaris panjang untuk membuat eksperimen.
Ini peluang baik, kata aku dalam hati.

Berikut adalah laporan eksperimen yang telah aku jalankan.

EKSPERIMEN: Lawan Pedang Waktu Cikgu Berambus Keluar Dari Kelas.

HIPOTESIS: Nampak sangat cikgu menipu bila dia kata dia boleh tau sapa yang buat bising dari dalam bilik guru.

PEMBOLEH UBAH:
-DIMANIPULASI: Tak ada
-DIMALARKAN: Aku dan geng yang akan lawan pedang dalam kelas.

METODOLOGI:
Kumpul 2 atau 3 orang rakan sekelas.
Ambil 2 atau 3 pembaris panjang untuk dijadikan pedang.
Kemudian, mula terkinja-kinja berlakon jadi Zoro atau Anakin Skywalker sambil menghayun dan melibaskan pembaris yang dijadikan sebagai pedang.
Berhenti dan duduk di tempat masing-masing apabila nampak cikgu berjalan dari bilik guru nak masuk ke kelas dan berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Malang nasib aku, bila Hipotesis aku terbukti salah, sekali gus membuktikan betapa budak-budak darjah 4 memang tak layak nak buat eksperimen sains tanpa pemantauan orang dewasa.
Kesan daripada kegagalan eksperimen yang telah aku jalankan,
maka dengan rasminya aku dikurniakan memori dan pengalaman merasa kena penampor dengan cikgu seawal usia 10 tahun.

Pang!!!

Bilik muzik bergegar dengan bunyi lempangan Encik-Entah-Haram-Aku-Tak-Ingat-Nama pada pipi aku.

10 TAHUN KEMUDIAN.

Aku tengah ambil course pendidikan di Universiti Malaya.
Engkau agak-agak,
bila dah sampai turn aku jadi cikgu nanti,
ada tak budak yang merasa 'air tangan' aku pulak?

Tuesday, December 17, 2013

Bonzer Bercerita: Nova (Prolog)

Dr. Albert Anon Gray
23 Sept. New World 21
Project: NOVA

#7
Sepanjang hidup ini, aku telah berjaya merungkai beratus-ribu persoalan sains. Malah, kajian-kajian yang aku jalankan telah berjaya membawa manusia ke tahap kemuncak ilmu dan aplikasi pengetahuan saintifik, dan kemuncak kemajuan dalam bidang ini akhirnya membawa manusia ke satu tahap kemajuan yang mungkin suatu masa dahulu tidak pernah difikirkan sekali pun oleh para saintis dan para pengkaji, iaitu, Era Dunia Baru.

Pada era ini, tidak terlalu melampau jika aku katakan yang segalanya sudah pun mampu dikecapi. Tahap kehidupan telah berjaya dinaiktaraf ke tahap kemuncak keselesaan dan kesenangan. Tiada lagi yang mampu dikaji dan dipersoalkan dalam dunia sains. Setiap persoalan, setiap persamaan, setiap teori, telah berjaya aku rungkai dan buktikan. Dan aku sangat berbangga dengan setiap kebaikan yang berjaya dikecapi manusia pada era ini melalui kajian-kajian tersebut.

Namun, aku tetap juga tidak boleh menafikan jika seseorang datang kepada aku dan menyalahkan aku di atas peperangan yang sedang menimpa setiap manusia pada waktu ini. Walaupun kajian-kajian yang aku jalankan berjaya membawa manusia ke tahap kemodenan yang seperti ini, dengan kajian-kajian tersebut juga manusia berjaya menyebabkan kemusnahan seperti ini. Senjata-senjata moden yang tidak mampu difikirkan oleh akal fikiran manusia suatu masa dahulu telah berjaya dicipta. Ciptaan-ciptaan yang memudaratkan hidupan lain juga telah berjaya dicipta berdasarkan ratusan ribu kajian yang telah aku jalankan. Satu mimpi indah yang diiringi mimpi ngeri yang jauh lebih dahsyat daripada apa jua bentuk imaginasi yang boleh digambarkan.

Sungguhpun begitu, jauh di sudut hati, aku sudah menyangka yang ini semua akan berlaku. Manusia, mungkin boleh mengecapi kemajuan dari segi pembangunan dan kajian, tetapi tetap akan ada yang primitif dari segi pemikiran, dan hipotesis aku tepat: sungguhpun manusia berjaya mengecapi kemuncak kemodenan, namun tetap akan ada yang tidak memikirkan implikasi negatif terhadap manusia dan keamanan sejagat dalam tindak-tanduk yang mereka laksanakan. Satu hipotesis yang aku sendiri geruni, dan lebih teruk lagi, perkara yang aku geruni itulah yang sedang menimpa seluruh manusia di atas muka bumi pada hari ini.
Mungkin dengan kondisi diri, dan hayat yang masih ada, aku tidak mampu untuk mengubah semua yang telah berlaku ini untuk kembali kepada sedia-kala. Namun, masih ada satu kajian terakhir yang aku jalankan secara rahsia. Satu kajian yang tidak aku kongsikan dengan sesiapapun sebelum ini, tidak dengan para pengkaji dan tidak juga kepada para pemimpin paksi politik dunia yang berkuasa. Kerana aku khuatir, jika kajian ini juga disalahgunakan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab, maka tiada lagi jalan keluar bagi krisis yang menimpa manusia ini.

Ini adalah jawapan dan solusi aku kepada masalah ini. Sungguhpun pada kebiasaannya, aku tidak akan melakukan sesuatu kajian dan tidak akan juga membuat ciptaan tanpa 100% kiraan bagi kemungkinan untuk berjaya, namun, kajian yang mempunyai kebarangkalian kejayaan 50% ini tetap aku jalankan sehingga fasa yang terakhir. Ya, cuma ada 50% kemungkinan yang solusi ini bakal menyelesaikan krisis dunia pada hari ini. Tiada jaminan yang aku berani berikan.

Ini kajian dan ciptaan yang terakhir daripada aku. Amanah aku kepada dunia agar fungsinya dikekalkan sebagai penegak keamanan dan keharmonian antara manusia dan seluruh isi dunia. Aku menggelarkan ciptaan ini sebagai.....

MAKLUMAT SETERUSNYA TIADA DALAM CARIAN

Bonzer Bercerita: Rider Teluk Anson (Prolog)

Nama teman Meor Muhammad Muaz bin Meor Muhammad. Ada yang panggil Meor, ada yang panggil Muaz. Tapi kebanyakan orang panggil teman Yeop. Umur teman sekarang 23 tahun.Teman lahir di Teluk Intan, Perak. Mulanya cuma ahli keluarga teman saja yang panggil teman Yeop. Gelaran yang biasa diberikan bagi anak sulung lelaki di Perak. Tapi entah kenapa, sampaikan di sekolah, kawan-kawan hinggakan cikgu-cikgu pun akhirnya panggil teman Yeop, walaupun rasanya ramai juga kawan-kawan teman tu sebenarnya sama juga macam teman, anak sulung lelaki di rumah.

Teluk Intan, tempat teman lahir ni juga dikenali sebagai Teluk Anson. Teman selalu dengar kawan-kawan teman yang tak suka bila orang luar menggunakan nama Teluk Anson bila merujuk kepada Teluk Intan. Merosakkan nama tempat kata depa. Kononnya depa tak suka bila bahasa penjajah digunakan bila merujuk kepada kampung kesayangan depa tu. Entah, pada teman, teman tak rasa macam ada masalah pun kalau guna nama Teluk Anson tu. Ada bunyi orang putih. Rasa ada kelas sikit.

Boleh kata ahli keluarga teman semuanya dilahirkan di sini, kecuali abah teman yang lahir di Padang Rengas, Kuala Kangsar. Walau macam mana pun, abah teman tu tetap lahir di Perak juga sungguh pun bukan di Teluk Intan. Mak teman, adik teman Meor Muhammad Rizal dengan adik teman yang paling kecik, Meor Muhammad Razi, semuanya orang Teluk Anson ni.

Sebelum ni, teman betul-betul rasa seronok tinggal duduk di Teluk Intan. Kebanggaan teman, semestinya la Menara Condong nun.Orang yang duduk Kolumpo mungkin tak rasa apa sangat bila tengok Menara Condong, tapi orang kampung macam teman ni, rasa bangga betoi tinggal di tempat yang ada lambang kemegahan rupa tu. Bila orang luar datang tempat teman ni,  heboh teman ceritakan pasal Menara Condong tu. Kalau tak menara condong pun, mesti teman bercerita tentang Gulam Rasul, tempat makan paling sedap dalam dunia! Lagipun, di sini la tempat membesar selama 23 tahun teman hidup. Kawan-kawan teman, memori-memori teman, segalanya tentang teman bermula di sini.

Tapi, tak berapa lama, tiba-tiba teman tak berapa sedap pula rasa tinggal di sini. Ceritanya macam ni.
Dulu, yang dikatakan bodoh, dikatakan tak maju, yang jadi penagih dadah, yang dikatakan belajo tak tinggi, semuanya dikaitkan dengan orang kampung. Bila cakap aje pasal orang kampung, mesti semuanya benda yang mundur, yang tak berapa sedap telinga mendengar. Tapi, entah sejak bila, orang kampung sekarang jadi lain.

Anak Mak Bedah, dah sambung belajar di Amerika sana. Buat kursus kejuruteraan katanya. Anak Pak Lang Lembu, semua-semuanya dah masuk Politeknik. Si Atan anak Opah Su, teman dengar cerita dah ada di Universiti Malaya dekat Kolumpo nun. Cucu Wan Naimah, sekarang dah jadi doktor dah pun. Kawan-kawan teman yang dulu satu sekolah dengan teman pun sekarang ni semua dah keluar kampung. Ada yang sambung belajar di UiTM, ada yang dah kerja di Ipoh, kalau yang perempuan pula ada yang dah kahwin pun.

Teman?

Teman aje la yang masih tinggal di kampung.Nak masuk universiti macam mana kalau Bahasa Melayu teman pun dapat D masa ambil SPM. Punya la pemalasnya teman mengaji dulu. Jadi la teman penjual kelapa depan rumah. Mak pun selalu juga marah-marah teman ni. Buat malu aje teman ni, kata mak. Adik teman si Rizal tu pun dapat sambung belajo di USM. Si Razi tu pula, baru aje mendaftar ke Kolej MARA Nogoghi Sembilan. Betul juga cakap mak. Tapi teman nak buat rupa mana kalau dah macam ni nasib teman? Jual kelapa pun pada teman boleh hidup juga. Biar sikit asalkan rezeki yang teman cari ni halal, pada fikiran teman.
Mula-mula memang, teman rasa teman boleh tahan hidup jual kelapa lepas SPM. Kerja pun tak susah sangat. Kelapa dah siap ada, tinggal nak jual aje pada orang. Tempat teman jual kelapa pun depan rumah aje. Bila-bila masa kalau orang kampung nak beli kelapa pun teman boleh bekalkan. Santan pun teman ada jual. Langsung tak ada hal.

Tapi bila hari-hari teman dengar mak membebel setiap kali balik menoreh, panas juga telinga teman ni. Sebelum ni, mak tak la macam kisah sangat teman jadi penjual kelapa. Lagipun dengan hasil teman jual kelapa tu, dapat juga teman tampung-tampung belanja rumah. Hidup kami yang tinggal di rumah ni pun rasa mewah la sikit bila Rizal dengan Razi masing-masing dapat biasiswa dan elaun waktu depa sambung belajar sana. Tapi, sejak Zakwan, anak si Marina Murai terbang sambung belajar ke Perancis, beria-ia pulak mak teman bising fasal teman yang tak sambung belajar ni.

Teman syak, Marina Murai ni mesti selalu mengata teman setiap kali mak pergi minum-minum di warungnya setiap kali habis menoreh getah. Marina Murai ni pun terkenal juga sebenarnya dengan ke'kepoh'an dia yang boleh tahan. Teman sendiri pun kadang-kadang meluat mendengar dia mengumpat, mengata anak-anak orang kampung yang tak belajo tinggi macam anak dia si Zakwan tu. Bangga betoi Marina Murai dengan anak dia tu, sampai diperlekehnya anak-anak orang lain. Tapi disebabkan dia buat teh tarik dengan kopi sedap, ramai juga la orang kampung yang selalu singgah minum di warung dia.....walaupun telinga terpaksa menahan bisa.
Tapi teman tak kisah semua tu. Teman pun tak kisah mak marah teman sebab teman pun jenis yang sedar diri. Memang teman ni tak maju macam anak orang lain yang terbang merata tempat ke luar negara sambung belaja, kerja pun semua kerja bagus-bagus. Doktor, jurutera, loyor, tak ada pun yang jual kelapa macam teman. Tapi teman tetap kerja kuat untuk jadi anak yang baik, anak yang boleh buat mak teman senyum memanjang. Semuanya baik-baik saja sehinggalah tiba satu hari yang mengubah pemikiran teman tentang kehidupan.

"Kamu ni tak boleh ke jadi macam anak-anak orang lain ha?! Cuba kamu tengok Zakwan tu, berjaya, dapat sambung belajo sampai ke Perancis nun. Kamu ni Yeop? Jadi apa sekarang?", pekik mak tiba-tiba lepas balik dari menoreh.

Teman waktu tu yang tengah berehat minum kopi terkejut tak semena-mena. Angin tak ada ribut tak ada, tiba-tiba puting beliung dalam rumah, maunya teman tak terkejut beruk? Dan entah kenapa, angin teman pun tak baik sangat hari tu, teman menjawab pulak apa yang mak teman cakapkan tu.

"Ni mesti mak dengar sangat kata Marina Murai tu kan mak? Tak payah le dengo sangat cakap dia tu mak, dia tu pun bukannya betoi sangat."

"Pandai kamu menjawab. Tu, bukannya dia soghang yang dok bercakap tentang kamu tu, satu kampung dah heboh mengata pasal kamu ni. Buat malu kampung kata deme."

"Mak, orang kampung tu pun mengata Yeop sebab dengokan sangat kata si Marina Murai tu. Mak tak payah dengo sangat mak. Mak tengok, si Marina tu pun bukannya bagoih. Anaknya nama aje belajo tinggi, tapi cuba tengok maknya, tak habih-habih dok mengata anak-anak oghang lain."

"Kamu ni dah le tak jadi oghang, dah pandai pulok nak mengata orang tua-tua. Buat malu mak aje anak macam kamu ni!"...

Entah kenapa, ayat terakhir mak tu, betoi-betoi buat teman terasa hati. Teman secara spontan aje terus bangun dari meja makan, dan membalas cakap mak.
"Kalau macam tu, bior Yeop keluor aje dari rumah ni. Yeop pun dah tak tahan dengor mak mengata Yeop hari-hari. Yeop pun dah letih jadi anak yang buat malu mak sendiri!"

"Kamu pergi le. Kamu ingat mak kisah sangat? Kamu tu jadi orang pun idak, tak payah berangan le kamu nak hidup sendiri."

Lepas tu, teman naik atas, masuk bilik teman dan kemas barang-barang teman. Baju dua tiga helai. Baju Melayu sehelai. Seluar jeans satu kain pelikat satu. Teman pecahkan tabung ayam teman. Ada 50 ringgit. Teman simpan buat bekalan. Teman capai topi teman yang teman sangkut pada dinding.
Terus teman keluar rumah, start enjin motor abah.

Dan petang tu, Honda C70, AEK 8005, memecut laju keluar kampung.

Dan bermulalah kisah pengembaraan hidup teman...

#10: Tak Apa. Kita Bersangka Baik

Benda ni jadi masa aku darjah satu...

Selaku seorang brader yang setakat tau kayuh basikal aje masa tu,
secara logiknya, sudah menjadi norma hidup untuk aku menaiki van ke sekolah.
Tambahan pula, sekolah aku tu di Gunung Rapat, aku ni duduk di Desa Tambun. Kalau nak kayuh basikal pergi sana, alamat 241 kali aku berenti rehat sambil minum air kelapa. Bilanya aku nak sampai sekolah kalau macam tu?

Budak-budak yang naik van sekali dengan aku masa tu seorang haram pun aku tak ingat.
Yang aku ingat Alip Gengster, sorang brader darjah 4 waktu tu. Tu pun sebab aku pernah lempang dia sebab ambil aku punya kopiah. Aku belajar di Sekolah Rendah Al-Hidayah. Dah terang-terang sekolah agama, memang la kena pakai kopiah, kau jangan buat-buat terkejut pula.

Aku naik van ni hampir setahun juga.
Sampai suatu masa, pakcik van buka satu cerita sedih berkenaan niat beliau nak pencen daripada jadi seorang pemandu van bertauliah.
Maka, untuk menjadikan ke'pencen'an-nya satu event yang gilang-gemilang, pakcik van anjurkan satu pertandingan melukis untuk semua yang naik van tu dengan janji, orang yang lukisannya paling lawa akan diberikan hadiah.

Aku yang kepala otak jenis banyak imaginasi yang mega-agung-punya-hebat, mula mencongak-congak untuk melukis sesuatu yang juga mega-agung-punya-dahsyat.
Entah apa hadiah yang akan dibagi dek pakcik van agaknya?
Entah-entah nak bagi game baru?
Elok juga kalau macam tu, konsol nintendo aku pun baru aje lingkup.
Ini dah jadi satu peluang untuk aku kikis duit pakcik van agar membelikan konsol video game baru untuk aku.
Berbekalkan persoalan-persoalan yang timbul secara automatik dalam kepala dan kemungkinan yang aku belum pasti bahawa aku akan mendapat konsol video game baru, aku tak pasal-pasal termotivasi untuk menghasilkan sebuah masterpiece.

Maka, aku pun melukis dengan penuh keghairahan bila balik rumah.
Budak-budak lain pun tak lepas peluang keemasan untuk dapatkan hadiah-apa-benda-entah-yang-depa-bayangkan-dalam-kepala.
Ada yang lukis Ultraman, Digimon, dan tak silap aku ada yang tekap gambar Doraemon.

Aku tak main la tiru-tiru dan tekap-tekap kartun lain.
Hasil kerja aku perlulah sesuatu yang original.
Dengan niat yang macho macam tu, aku telah berjaya melukis sorang wrestler yang memakai tali pinggang emas, dengan badan berketak-ketak dan misai melintang.
Terasa macam Picaso diri ini waktu itu.

Dengan semangat yang kental, aku menghantar karya original aku kepada pakcik van.
Kompom, konsol video game baru akan jadi milik aku, getus hati kecil yang kian teruja untuk mendapat hadiah.

Bila dah hantar, aku tanya pakcik van, bila boleh tahu siapa yang menang.
Pakcik van cakap, tunggu semua budak hantar lukisan dulu, baru boleh nilai.

Bila semua budak dah hantar, aku tanya lagi soalan yang sama.
Bila boleh tahu siapa yang menang?
Pakcik van cakap minggu depan.

Bila dah sampai minggu depan, aku tetap gigih bertanya soalan yang sama.
Bila bole tahu siapa yang menang? Dan waktu tu, memang nampak sangat keterujaan aku nak menerima konsol video game baru dari pakcik van sudah tak boleh nak dibendung-bendung lagi.
Malangnya, pakcik van kata, tunggu dia fikir dulu.

Jiwa aku pun dah mula nak label pakcik van tu menipu bila sudah banyak kali soalan aku tidak berjawab.
Tapi mak aku ajar, jangan cepat sangat main tuduh-tuduh orang, tak baik.
Secara automatik aku hilangkan rasa prejudis dalam diri aku.
"Pakcik ni dah tua, mungkin dia selalu lupa", kata aku untuk pujuk hati sendiri.

Maka aku pun tunggu.

Tunggu,

Punya tunggu,

Punya tunggu,

Punya tunggu...

Sekarang ni dah tahun 2013.
Rasanya dah tiga belas tahun aku menunggu.
Tapi pemenang pertandingan melukis anjuran pakcik van masih belum diumumkan.

Tak apa.....kita bersangka baik...


Monday, December 16, 2013

#9: "Kita pakai macam ni, sebab kena tutup aurat la"...

Ini cerita waktu aku pun masih lagi kerja sementara sebagai guru tadika.

Suatu pagi, sedang aku melayan perasaan sambil mengelamun tengok budak-budak belajar membaca, dengan air liur yang tak ubah macam spray ambipure menyembur-nyembur dalam cubaan mengeja, tiba-tiba aku terdengar satu group murid aku buat persidangan budak-budak tadika di penjuru ruang aku dengan geng jemaah cikgu lain mengajar.

Sayup-sayup saja aku dengar suara budak-budak tu bersembang. Masing-masing tak berani sembang kencang dengan suara kuat. Semestinya la takut kena perambat dengan sorang lagi cikgu yang awal-awal lagi dah ugut nak suruh budak-budak tu berdiri satu kaki kalau buat bising.

Mula-mula aku ingatkan entah apa benda la yang budak-budak tu sembangkan.
Serius mengalahkan debat parlimen gayanya.
Kepala aku dah mula mencongak, mana la tau kut-kut budak-budak sekarang umur 5,6 tahun sudah kencang saja mulut bersembang hal isu reaktor Nuklear di Iran, masalah dadah dan rasuah dalam negara, tak pun perbentangan idea dalam memboikot gerombolan zionis laknat.
Mau menganga aku dengan penuh ketidakpercayaan mendengar budak-budak tadika berbincang tentang benda luar hukum logik macam tu.
Maka, bagi membuktikan yang sungguhpun era sekarang sudah semakin pesat membangun dan penggunaan teknologi semakin menjadi lumrah dalam kehidupan, namun budak-budaknya masih tidak boleh bersembang tentang perkara-perkara luar makam pemikiran macam tu pada umur yang sedemikian rupa, aku pun pergi dekat sikit dengan group tu untuk mendengar dengan lebih teliti.

Tiba-tiba aku terdengar, Amaani, murid aku, umur 6 tahun, di'provoke' oleh jemaah diva-diva tadika yang lain dengan satu soalan,

"Amaani, kenapa awak pakai macam ni?" Sambil jari telunjuk mereka dihalakan ke baju Amaani yang berlengan panjang dan seluar Amaani yang panjang dan labuh menutup sehingga ke buku lali serta tudung yang membaluti kepala- set pakaian yang kelihatan agak menyesakkan akal fikiran dan merimaskan kepala otak kerana rasa panas yang tercetus akibat daripada memakainya.
Aku syak budak-budak tu pelik, sebab majoriti murid aku yang perempuan tak pakai tudung dan biasanya akan berbaju lengan pendek sahaja ke tadika.

Hoh, sudaaaaa.
Ini sudah masuk soalan yang melibatkan hukum-hakam agama beb.
Ini kalau Amaani main jawab ikut standard logik budak-budak tadika, boleh goyah iman murid-murid aku yang bertanya tadi.
Aku fikir, sebelum dia bagi jawapan yang merapu-rapu, ada baiknya kalau aku masuk campur dalam mesyuarat agung budak-budak tadika ni untuk terangkan serba sedikit tentang tuntutan menutup aurat.

Tapi, belum sempat aku aku masuk campur, tiba-tiba Amaani tarik nafas dalam-dalam, dan menjawab dengan selamba,

"Kita pakai macam ni, sebab kena tutup aurat la"

Budak-budak yang mendengar jawapan tu menganga.
Aku pun terus diam dan terduduk mendengar jawapan Amaani
sambil hati aku tertanya-tanya,

"Ini, kalau budak tadika macam ni pun tau bercakap pasal aurat, apa pasal aku tengok yang tua-tua bangka pun masih ada yang tak pakai tudung dan selamba badak pakai seluar pendek bila pergi beli barang dapur di Tesco?"

Sunday, December 15, 2013

#8: Untuk Farhana Hasan

Sebuah tribute untuk sahabat baik.

Bismillahhirrahmanirrahim.
---------------------------------------

22 Ramadhan 1434.
Tarikh keramat yang tak akan mampu dilupakan oleh Farhan.

Matanya menengadah kipas yang ligat berpusing.
Sunyi.
Sepi.
Hanya kipas pada pandangan matanya sahaja yang berbunyi.

"Abang Pa'an, nanti bila Abang Pa'an dah belajar pandai-pandai, boleh dapat kerja yang bagus kan?

Bila Abang Pa'an dapat kerja bagus, Abang Pa'an boleh kerja rajin-rajin, boleh dapat banyak duit.

Bila Abang Pa'an dapat banyak duit, hari-hari Abang Pa'an boleh belanja Farha makan ais krim kan?"

Terngiang-ngiang kata-kata Farha di benaknya.
Tangannya diraupkan ke muka.

DUM!
Kepala katil dua tingkatnya dihempas kuat.
Buku limanya digenggam kuat, tidak pasti sama ada kerana marah.
Atau kerana rindu.
Atau mungkin kedua-duanya sekali.
Kepalanya cukup rungsing.
Rungsing untuk menerima kenyataan.
Sangat sakit rasa jiwanya dihentam realiti.

"Ya Allah, kau kurniakanlah kekuatan kepada hamba-Mu ini,
tolonglah, YA ALLAH!"

Tanpa disedari, butir-butir jernih mengalir menembusi takungan kelopak matanya.
Air matanya mengalir laju, mengalir sayu.
Bagaikan sungai syahdu, bertemankan gelap malam nan pekat.

Hatinya bagaikan masih tidak boleh menerima kehilangan adik kembar tercinta.
Bagaikan hilang segala pedoman yang menuntun jiwa buat seketika.
Hidupnya dirasakan kosong, bagaikan tidak dijenguk makna.
Perginya Farha benar-benar membuatkan dunianya gelap gelita.

'Masih belum puas rasanya melayan karenah Farha yang selalu merengek hendakkan aiskrim.
Cornetto. Aiskrim kesukaannya.
Asalkan aku dapat melihatnya tersenyum dengan Cornettonya, aku tak kisah jika beg duitku barai sekalipun.'

'Masih jiwa rasa rindu, melihat gelagatnya menconteng buku-buku latihanku.
Buku fizik, buku biologi, buku kimia, buku matematik. Setiap satunya paling tidak mesti ada dua atau tiga hasil lukisan kartun Farha. Cikgu sering juga marah dengan contengan kebudak-budakan tersebut di dalam buku. Tapi aku tak kisah diriku dimarahi, asalkan Farha seronok melukis muka mak, muka ayah di dalam buku fizik, biologi dan yang lain-lain itu.'

'Aku masih belum puas menyuap nasi ke mulut Farha.
Nasi dengan kicap, dan ayam goreng semestinya.
Puas aku memujuknya untuk makan sayur, tapi tetap dia tidak suka.
Apabila makan, selalu sahaja mulutnya comot. Tapi aku sangat suka melihat Farha makan begitu. Aku suka mengelap mulutnya dengan kain, dengan tisu.
Rajin tangan kecilnya cuba menyuap mulutku juga.
Oh, saat itu.
Betapa aku RINDU!'

"YA ALLAH, HAMBA-MU INI RINDU!"

Benar, Farha penghidap masalah mental.
Jiran-jiran tidak begitu selesa dengan kehadiran Farha ke dunia.
Malah, ada yang mencerca.
Sikap Farha mungkin agak kebudak-budakan. Tetapi Farha tetap adik kesayanganku.
Ya, Farha, adik kembar kesayanganku.

Pernah juga Farha dibuli oleh anak-anak jiran yang lain.

"Farha bodoh, Farha lembab"
"Farha budak cacat."
"Farha bengap, budak terencat"

Dan tidak ada seorang pun yang bercakap begitu kepada Farha terlepas daripada sepak terajang Farhan.
Jiran-jiran yang lain, termasuk mak, selalu memarahinya kerana tindakannya itu.
Tetapi tidak Farhan kenal erti serik.
Melihat Farhan menangis diejek sedemikian rupa, benar-benar mengguris perasaannya.
Benar-benar mengguris, naluri seorang abang yang sedia terpahat di jiwanya.

'Aku tidak kisah jika aku yang kena marah, kena maki dengan jiran semua.
Asalkan bukan Farha yang dicerca.
Aku tidak mahu isi dunia.
Aku cuma mahu Farha gembira.
Bahagia.'

Kakinya laju melangkah keluar.
Matanya tajam menengadah langit pula.
Hatinya tidak henti-henti mengadu kepada Ilahi.

Cuba dipujuk jiwanya.
Puas cuba dilentur amarahnya yang entah kepada siapa.

'Aku tahu Ya Allah, segala yang terjadi ada hikmah yang tersendiri.
Daripada-Mu kami datang, dan kepada-Mu kami kembali.'

"Abang Pa'an"
"Ya?"
"Farha teringin makan KFC"
"Farha, tak elok lah makan fast food macam tu"

Sejak terjatuh tempoh hari, Farha demam tidak kebah-kebah.

"Alaaaaaaaaa, boleh laaaaaaaaaa"
"Yela, petang ni Abang belikan eh?"
"Yeeeeeeeeeeey, nanti Farha nak makan ayam, Farha nak naget, nak makan berger, tapi Farha taknak sayur yang dalam bekas tu"
"Coarslow la Farha, bukan 'sayur yang dalam bekas' tu"
Ketawa mengisi segenap ruang tamu.

Seronok melihatnya merajuk.
Seronok melihatnya tersenyum riang setelah dipujuk.
Seronok mendengar Farha ketawa.
Seronok melihat gelagat Farha tak kira masa.

Hujan turun bertali-temali.
Farhan, masih di situ.
Masih melutut di situ.
Satu demi satu kenangan,
Satu demi satu memori bermain pada penglihatan.
Seolah-olah tidak faham dengan keadaan emosi.

Siapa sangka,
Pada hari itu Farha akan meninggalkan dunia,
Pergi buat selamanya.

'Aku sayang Farha.
Allah lebih sayangkan dia.

Tiada lagi gelak tawa.
Segala yang berlaku, pasti ada hikmahnya.

Tiada lagi Cornetto.
Yang hidup pasti akan merasai mati, itu ketentuan Ilahi.

Tiada siapa lagi yang nak conteng buku.
Tiada lagi Farha untuk aku suap.
Tiada lagi Farha.
Tiada lagi Farha.
TIADA LAGI FARHA!'

"Ya Allah,
Aku hamba, aku redha.
Setiap yang bernyawa, pasti akan kembali kepada-Mu.
Segala yang berlaku, mesti ada hikmahnya, mungkin hamba-Mu ini sahaja yang belum tahu.
Doaku,
Kau sediakanlah tempat buat Farha di Jannah.
Biarkan dia gembira.
Berikan dia bahagia.
Berikan dia segalanya."

22 Ramadhan 1434...

Nota sisipan: sebuah tribute untuk sahabat baik aku Farhana Hasan. Al-Fatihah buat adik kesayangannya, Firzana, yang telah kembali dijemput Ilahi.

Monday, December 9, 2013

#7: Kau Ni Da'ie Yang Macam Mana?

Ini kali, aku nak ajak kau berfikir.

Kau cuba bayangkan satu senario.
Ada seorang brader gaya alim-alim,
sekali tengok sikit pun tak ada nampak macam makhluk yang terpikat dengan keinginan untuk melakukan waima satu jenis perkara maksiat lagi menyesatkan sekali pun.
Berjalan dengan gaya cool, steady dengan pakaian mengikut piawaian sunnah.
Lengkap berjubah.
Serban tak payah cerita. Jahit sendiri punya.
Seluar, siap lipat sikit dekat hujung kaki. Risau terkena najis, susah nanti nak solat sunat.
Tangan, lengkap bertasbih. Boleh bawa berwirid bila tunggu bas.
Daripada buang masa sedut Gudang Garam, tak pun Malboro Extra Mild, eloklah membasahkan lidah dengan kalimah-kalimah yang boleh dijadikan pelaburan bagi mengecapi pengakhiran yang baik di sana nanti.

Brader ni pula, dia punya berani dan sikap concern kepada masyarakat memang sudah sampai makam lagenda.

Kalau ada organisma yang bergosip, hamba Allah ni akan tegur.
Kalau ada brader yang mengumpat, pun akan ditegur juga.
Kalau ada orang yang ditimpa dugaan, seluar jeans kena rembat, pintu rumah barai kena pecah masuk pendatang haram, along-along datang kutip hutang yang buat perangai gampang salah simbah cat, dia juga la yang bertindak sebagai penenang jiwa raga.

Tapi brader,
sekali bila kau tengok ada orang buat hal dengan dia,
bila 'boxer'nya dirembat orang misalnya,

"Celaka punya budak!"
"Perangai lu macam gampang la bodoh!"
"Bangsat, kau memang kalau tak buat perangai lahanat memang tak sah!"
"Bastard!"
"JAHANAM!"

Dan lain-lain lagi aneka campuran carutan yang berbulu telinga mendengar akan dihamburkan tanpa belas kasihan.
Bersepah kata-kata makian yang ditembakkan oleh brader jubah tersebut.

...........

Perkara macam ni aku ada nampak berlaku pada zaman pasca kemerdekaan ni.

Para brader yang berjalan dengan gaya alim ulama', lengkap berserban, lengkap berjubah, gaya macam golongan yang anti habis dengan kutu-kutu lorong yang nampak macam bengap agama secara absolute,
yang selalu bercakap soal nasihat,
yang selalu menegah, selalu melarang benda yang tak patut,
yang selalu bercakap soal kebaikan dan pentingnya amal makruf nahi mungkar,
tiba-tiba bertindak mencaci-maki-herdik-hamun dengan kata-kata carutan yang beraneka macam.

Ada kata pujangga yang sesuai dengan keadaan ni sebenarnya;

Cakap Tak Serupa Bikin

Beberapa kelemahan sebahagian Dai'e moden yang dapat aku kenal pasti hasil pemerhatian aku selaku brader marhaen yang ilmu pun tak setara mana ini, adalah;

1. Sikap cakap tak serupa bikin.
Ada yang selalu memberi nasihat, memberi tunjuk ajar, yang menggalakkan pengamalan ilmu Islami, yang selalu mengajak untuk bersabar, yang selalu menegah orang sekeliling daripada melakukan maksiat, yang selalu itu, yang selalu ini.
Tapi mereka sendiri tidak mengamalkan segala apa yang patut diamalkan.

2. Diskriminasi.
Ada yang petah berbicara, petah berdakwah, tetapi sekadar kepada golongan intelektual seperti golongan siswa siswi, pelajar sekolah, tak pun kepada pakcik makcik yang selalu ke surau atau masjid. Para kutu jalanan, budak-budak lorong, kakak-kakak yang sudah terlanjur, mereka menganggap golongan ini sebagai golongan yang hina, dan memandang rendah kepada mereka, hingga tak sanggup untuk sama-sama berkongsi ilmu dengan golongan-golongan seperti ini.

3.Obsesi.
Obses dengan apa? Parti politik. Yang ini aku malas nak ulas lebih-lebih.
Sebab aku tengok di luar tu pun tadi macam dah ada ekstremis yang stand by dengan molotov cocktail. Tinggal nak baling biar kena kepala aku saja.

Jadi, aku nak tanya.
Kau ni Da'ie yang macam mana?
Kalau jenis yang aku sembangkan di atas, eloklah kau mengucap panjang.

Friday, December 6, 2013

#6: Kau Tak Malu Dengan Kaum Hawa?

Malam ke 5 Ramadhan 1434 Hijrah.
Lepas tarawih, aku gila nak makan coklat.
Aku pun tak pasti apasal, tapi memang semangat nak makan coklat aku meluap-luap tanpa boleh dibendung lagi.
Dalam kebasahan jalan tar selepas hujan, aku melangkah keluar surau, mencari apa kiranya sekeping dua coklat Cadburry.

Aku singgah satu kedai.
Coklatnya ada, tapi takde yang almond punya.
Aku kalau gila nak makan benda alah ni, tidak boleh tidak mesti mau cari yang almond punya. Orang gila yang tidak cakna akan fitrah kewujudan coklat saja yang akan makan coklat tanpa kacang di dalamnya.
Jenuh mencari tapi tak jumpa-jumpa, sudahnya aku rembat sebungkus dua keropok kacang hijau. Pergi kaunter, bayar, selesai. Berambus balik rumah.
Ini pun keropok kacang hijau ni salah satu spesis keropok yang boleh kita nampak dengan kerap suatu masa ketika kita masih lagi tak reti nak lap hingus sendiri dulu. Punyalah berlagenda keropok ni.
Aku saja bagitahu, sebab aku yakin kau yang jenis selalu lepak Pavilion, Time Square dan segala bagai lagi ni mana nak tahu spesies makanan brader lepak Tesco macam aku ni.
Makanan berlagenda macam ni biasanya street dweller macam aku saja yang tahu betapa hebat kewujudannya di atas muka bumi ini.

...................

Pendek cerita, lepas dua tiga kedai aku masuk, aku jumpa la benda yang aku nak. Balik rumah dengan selamat, dan makan tanpa was-was.

Sebenanya aku nak cerita yang aku sangat respek kepada makwe-makwe di luar sana yang sanggup menempuh hujan pada malam ini semata-mata nak pergi tarawikh.
Pada aku, mereka ini adalah golongan yang sungguh cool, hebat lagi stylo. Sanggup pakai litup sana litup sini (menjaga aurat) berjalan kaki ke surau dalam hujan sedangkan masih juga terdapat beberapa makhluk di luar sana yang masih bercangkerama dan berdrama tak kena gaya dalam gelap, race motor bagai jembalang kota sana sini tak tentu hala dan para lelakinya pula, gila bergelak ketawa di kedai-kedai mamak pekena teh tarik sampai tak ingat nak hormat pada azan yang berkumandang.

Kau lepak pekena teh tarik waktu azan Isya',
kau tak malu dengan  kaum hawa yang bertelekung dalam hujan ke surau?

Thursday, December 5, 2013

#5: Brutal Entah Ke Mana Apa Entah Ke Mana

Kau tahu apa rasanya menghadap 50 orang anak kecil sekali gus?
Anak 2,3 orang pun dah macam nak meletup kepala, inikan pula 50 orang.
Ini la dia benda yang aku perlu tempuhi sejak menjawat posisi sebagai brader yang mengajar budak-budak tadika.

Sebrutal-brutal aku pun, kalau aku kata duduk dengan kira-kira tambah tolak 50 orang budak-budak bawah umur 7 tahun langsung tak memberi kesan pada jiwa aku, orang gila pun boleh tahu yang sesungguhnya aku sedang menghujahkan sebuah penipuan yang sangat menyesatkan.
Sedikit sebanyak, pengalaman mendidik kanak-kanak hingusan telah menanam sifat ihsan dalam diri aku. Agak bersyukur aku dengan apa yang telah terjadi itu, sungguhpun aktiviti tersebut juga turut hampir menjadikan aku seorang yang hilang kewarasan akal fikiran.

Walaubagaimanapun, ihsan tu ihsan juga, tapi kalau kena akal jahat aku sudah mula merasuk, disokong pula oleh kebosanan yang sudah bertahap petala langit tertinggi, ada masanya menangis-nangis juga budak-budak kena sakat dengan aku.

Ada sekali, sampai merajuk Najwa aku buat.
Najwa ni student aku. Umur baru 6 tahun. Tapi kepala hotak bergeliga. Berbekalkan kecekapan beliau mengeja dan membaca apa kiranya buku bahasa melayu dan buku cerita 'The Big Fat Cat', firasat aku kuat mengatakan yang dia bakal menjadi Menteri yang berjaya di alam rumah tangganya sendiri suatu hari nanti.

Setiap kali waktu rehat, aku bersama jemaah pendidik kanak-kanak hingusan yang lain akan ambil giliran menyediakan makanan untuk budak-budak.
Kadang ada biskut merry, kadang bagi biskut cap ping pong, kadang biskut hup seng, dan segala macam spesis biskut lagi.
Air? Wajib, air vico tak pun air perisa coklat yang sama rupa dan rasa dengan air vico.
Kalau nasib menyebelahi dan masa pun tak mencemburui, merasa la budak-budak tu makan nasi goreng, tak pun bihun goreng dan bermacam lagi sumber karbohidrat yang sama waktu dengannya.

Selesai budak-budak umur 5 tahun makan, aku panggil Amaani, Danisha serta kaum kerabat senior tadika yang lain untuk makan pula. Yang lain dah sampai. Najwa sampai lambat sikit. Pelan-pelan aje jalan dekat aku mintak sesuap dua biskut.
Aku bagi biskut. Lepas tu aku cusuk dia sikit,

"Najwa, air dah habih, cikgu bagi kamu air paip la boleh?"

Aku ambil cawan, isi air paip, dan bagi pada Najwa.
Mantap gila gaya lakonan aku masa tu.

Serius brader, kecewa gila beliau! Aku tengok muka nak nangis dah budak Najwa masa tu.
Aku pegang tangan dia pun pelan-pelan aje dia tepis sambil merengek sikit, tanda protes mintak aku pujuk. Strategi budak tadika.

Ah! Takde masa aku nak pujuk.Tak ada maknanya brader brutal macam aku nak pujuk-pujuk budak ni.

.......

Sudahnya, sebelum sekolah banjir dengan air mata kekecewaan Najwa tak dapat air vico, tak lama lepas tu, aku pegi dekat dia sambil gosok-gosok tangan dia, aku kata,

"Alalala Najwa, cikgu main-main aje, nah air vico, cicah dengan biskut eh? Sedap ni. Nak cawan warna apa? Cikgu tolong tuangkan air nak?"

Aku pujuk Najwa gaya bapak mithali. Habis punah semangat rock aku.

Brutal entah ke mana apa entah ke mana.

Wednesday, December 4, 2013

#4: Satu Story Syahdu

Ini berlaku masa zaman aku masih kena penjara di KMPk dulu.

Ada satu masa, sebelum final exam semester terakhir aku di sana, aku ada jumpa satu pensyarah.
Dia ajar aku kimia.
Pensyarah aku tu perempuan, umur tambah tolak atas 20 bawah 40.
Seorang manusia yang baik hati serta cool lagi bergaya.

Selaku seorang insan yang menagih apa kiranya sedikit tunjuk ajar daripada para pensyarah yang aku respect sebagai golongan yang berkongsi ilmu dengan aku, aku pergi jumpa dia untuk mintak restu buat kali terakhir sebelum aku berambus menyambut kemerdekaan aku habis belajar di kolej tersebut di samping meminta dia agar mendoakan aku sedikit sebanyak mudah-mudahan cemerlanglah aku dunia akhirat.

Bagi menambahkan sedikit suasana hening dan dengan niat di hati ingin menimbulkan drama air mata di meja pensyarah, aku datang seorang diri. Tak ada siapa teman. Nampak la sikit ada privasi di situ. Dan lebih penting lagi, nampak sikit sifat 'hero' aku, sebab datang seorang diri.
Sunyi sikit, timbul la sedikit sebanyak rasa sedih menghabiskan sisa-sisa hari yang berbaki selaku seorang brader yang bergelar pelajar di KMPk.

Lepas bersembang apa yang patut, aku pun hulur la ayat yang aku jadikan template setiap kali aku mintak restu daripada para pensyarah.

"Madam, alang-alang saya nak berambus keluar dari kolej matrik ni, dan memandangkan saya dengan geng-geng yang lain ni nak jawab final exam tak lama lagi, saya nak mintak maaf la dengan madam sepanjang saya belajar dekat sini. Saya nak mintak la jugak madam halalkan segala ilmu yang dah madam ajarkan pada saya. Doa-doakan la jugak saya ni dengan kawan-kawan yang lain. Harap-harap dapat la saya jadi cikgu pada masa depan. Memang cita-cita saya dari bangku sekolah lagi tu madam", kata aku sambil menghulurkan sehiris dua senyum kambing.

Habis saja aku hulur ayat-ayat minta restu, pensyarah aku jawab balik dengan bidasan yang baik punya,

"Hah? nak jadi cikgu? Awak saya tengok takde rupa macam cikgu pun. Pemalas. Assignment malas buat. Kelas pun datang 3,4 kali aje. Ada hati nak jadi cikgu?!"

...........

Lepas dia jawab macam tu, aku terus tendang meja dia.
Rak buku tempat dia simpan semua bahan rujukan subjek kimia dia aku hempas ke lantai sampai berkecai. Aku letupkan kereta yang dia park di bawah.
Tak cukup dengan itu, aku lari pecut pegi makmal kimia pulak, bakar semua perkakas untuk buat eksperimen yang ada.

Habis aku berangan buat semua tu, aku pun membawa diri balik ke bilik.
Sebak betul rasanya dibidas macam tu.

Sebak betul.

#3: Sebab Kau Malas

"Aku ni memang jenis yang tak penah ponteng jemaah di surau atau masjid berdekatan waima kalau aku tak pegi masjid/surau/musolla atau yang sinonim dengannya sekalipun, aku tak penah tinggalkan solat berjemaah di rumah".

Kalau ada yang dengar aku bagi penyataan macam tu di luar, minta tolong balingkan kasut saiz 10 tepat ke cranium aku bagi mengelakkan aku menipu dengan lebih lanjut.
Ini kali aku cuma nak bersembang serba sedikit tentang isu jumlah jemaah yang hidup segan mati tak mahu di masjid berdekatan.
Isu ni secara tidak langsung menjadikan aku yang turut wujud sebagai manusia lemah sama macam kau ni antara salah seorang penyumbang kepada kurangnya jumlah jemaah di masjid/surau...

Sebelum tu, aku nak tanya pada kau.
Aku ni hidup dekat muka bumi ni boleh kata lama sejak aku lahir dulu. Tapi, pasal apa aku masih meronta-ronta untuk menjadi seorang brader yang rajin solat berjemaah?
Nak sembang pasal usaha? Jenuh aku cuba dah.
Tapi kadang dalam satu hari tu, haprak satu waktu pun aku tak pergi solat jemaah.

Kau tahu sebab apa boleh jadi macam ni?
Berkat ihsan aku yang lipat-maut-punya-agung, biar aku bentang sikit sebab-sebabnya sekali dengan proses kajian aku dalam bab ni.

Pertama sekali, dalam mencari jawapan kepada pertanyaan yang dah aku lemparkan ke muka kau, telah aku lakukan kajian selama 6 hingga 7 purnama, menyemak semula setiap kitab yang telah aku pelajari di sekolah.
Kitab biologi, fizik, kimia, matematik, kitab-kitab sampingan seperti kajian tempatan, kitab geografi serta sejarah juga aku teliti dengan lebih mendalam. Mana la tau, kut-kut hal ini melibatkan hal-hal saintifik, fisiologi, psikologi dan lain-lain lagi.

Tak cukup dengan itu, aku kaji semula setiap peringkat sistem pendidikan yang telah aku harungi selama berkurun-kurun lamanya bermula dari zaman menduduki peperiksaan UPSR, PMR membawa ke SPM...
Risau kalau ada benda yang aku terlepas sepanjang berada di bangku sekolah, baik sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

Setelah lama mengkaji.
Akhirnya aku berhenti.
Aku termenganga.
Aku blur seketika.

Kau tahu kenapa semua ni boleh terjadi?

Orang bagi macam-macam hujah saintifik.
Orang bagi macam-macam sebab berkaitan psikologi.
Orang bagi macam-macam kekangan fizikaliti.

Puih.

Jawapan simple sahaja sebenarnya.
Sebab kau MALAS.

Tuesday, December 3, 2013

#2: Calon Isteri

Ini salah satu sesi sembang angin antara aku dan Ujang, member baik aku di matrik Perak.

Cerita ni aku rasa ramai dah member aku yang berbuih telinga dengar banyak kali. Tapi aku peduli apa, aku nak buka juga cerita ni. 

Dulu masa zaman aku masih lagi dipenjarakan di matrik perak, ada satu malam aku lepak dengan Ujang. Aku memang biasa juga lepak dengan budak separa waras ni bila kepala otak aku tepu dan dah tak boleh lagi terima kemerapuan yang terkandung dalam kitab-kitab duniawi macam kitab kimia, kitab biologi, fizik dan kitab ilmu kira-kira tahap nak bagi kepala aku meletup on the spot.

Aku tak pasti, entah apa pasal, malam itu, topik perbincangan tak tentu hala yang disembangkan adalah pasal calon bini yang menjadi dambaan hati. 
Aku kira masa tu Ujang dah kemaruk sangat nak kahwin.
Paling tidak, itu la hipotesis paling masuk akal yang boleh aku fikirkan, setelah membuat pemerhatian yang sangat teliti berkaitan hubungkait perangai Ujang yang tak reti berenggang dengan handset dan mukanya yang kadang-kadang 'senyum-senyum kerang busuk' tatkala menerima mesej makwe yang haram aku tak pasti siapa.

Aku bagi peluang Ujang jadi tekong memulakan cerita selaku seorang kasanova yang kaya dengan pengalaman mengayat makwe-makwe.
Dengan sungguh-sungguh dan semangat yang berkobar-kobar, beliau menceritakan kriteria yang perlu ada pada calon bininya. 
Aku buat-buat layan sajalah, nak bagi dia tak terasa sangat macam aku tak layan dan tak berminat dengan topik perbincangan jambu macam tu.

Yang aku ingat, bininya mesti la cun macam beberapa orang pelakon yang aku pun haram tak kenal.
Aku tak tipu, dia sembang pasal calon bini macam buat perbentangan dalam mesyuarat PBB.
Malah, mengalahkan kebolehan Obama memberi hujah tentang solusi pertelingkahan negara laknat Israel dengan Palestin.

Aku anggukkan saja apa yang Ujang sembangkan, dan aku rasa dia boleh la buat persiapan awal-awal untuk sediakan borang interview bagi setiap orang yang teringin nak jadi bini dia, senang macam tu, bisik benak kepala aku yang masa tu dah nak start lemas.
Apa jadah pula letak kriteria calon bini macam nak cari CEO sebuah syarikat gergasi yang pada masa yang sama mampu memimpin negara dan menjaga kebajikan 1000 orang anak kecil dengan kebolehan mutant macam cerita X-Men? Kau nak cari bini ke nak buat cerita magis?

Selesai Ujang meluahkan kriteria-kriteria yang patut ada pada bininya, datang pula soalan baik punya pada aku.
"Bonzer, kau pulak macam mana calon bini yang kau cari?", tanya Ujang dengan semangat yang masih tak luntur dan kenaifan yang jujur terpancar pada wajahnya yang tak berapa ada nur.

Aku tarik nafas dalam-dalam.
Aku lepaskan perlahan-lahan.
Dan aku jawab steady.

"Jang, aku cari komando buat isteri le kut. Senang jaga."

Sambil melangkah pergi meninggalkan Ujang melopong dalam cubaannya memahami taste aku memilih bini.







#1: Cerita Aku

Dalam hidup ini,

Kau ambil kira tentang hujah-hujah seorang Perdana Menteri,
Kau ambil pusing tentang idea seorang wakil rakyat,
Kau ambil tahu tentang buah fikiran seorang professor. 

tapi....

pernah kau ambil kira suara budak bengap matematik?
Tak pun idea makcik jual goreng pisang dan pakcik yang menjual air kelapa?
Tak lupa juga pendapat seorang makcik cleaner?

Di sini, aku rekodkan catatan-catatan seorang insan marhaen macam aku dan pengalaman menempuh perjalanan kehidupan bersama insan-insan marhaen yang lain. 

Sebuah cerita tentang orang yang bengap matematik dalam usaha menderivasikan sebuah perubahan daripada norma dunia yang penuh kekalutan.